Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: " Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:" Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT."
( Riwayat Al-Bukhari)
Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan "penghulu para pelaku kejahatan", namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu' dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.Marilah kita sama-sama melakukan hijrah diri. Hijrah yang dapat mengubah hati dan jiwa kita. Hijrah yang dapat meruntuhkan keegoan dan sikap takbur manusia. Hijrah yang dapat meruntuhkan hati dan jiwa yang keras. Hijrah yang memberi kesedaran kepada kita bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini adalah semata-mata untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.
Marilah kita berhijrah bersama-sama!

















